Rabu, 24 Jun 2009


Pengalaman Berurusan Dengan Amanah Raya, Bank Muamalat & LHDN.

Aku dah turun naik turun naik pejabat Amanah Raya beberapa kali malah dah beberapa tahun pun
sejak arwah ayah meninggal - untuk urusan harta pusaka yang ditadbir Amanah Raya. Urusan menjadi sukar
kerana mak aku warga negara Thai, ibu bapa aku kahwin dulu pun kat Siam dan tidak di daftar
di Malaysia, malah nama mak aku dalam surat nikah & passportnya pun berbeza. Selain itu sijil
mati arwah datuk & nenek pun tak ada dalam simpanan keluarga.

OK dipendekkan cerita, aku "skip" beberapa bahagian dan terus ke cerita yang berlaku pada 11 Jun
2009. Jam 9.30 pagi aku ke Pejabat Amanah Raya membawa 2 keping cek (Bank Muamalat), cek tersebut
atas nama mak aku tapi tidak dapat dituntut kerana mak aku warga negara asing jadi tidak dapat membuka
akaun di mana-mana bank. Dalam hati aku kenapalah pihak tersebut masih memberikan cek sedangkan
sepanjang urusan mereka tahu mak aku warga negara asing. Tapi tak kisahlah.... Setelah berbincang,
pihak Amanah Raya menyuruh aku buat satu surat penolakkan yang ditandatangani mak aku untuk
menukarkan cek-cek tersebut kepada nama aku.
Inilah tujuan aku ke Amanah Raya kali ini dengan membawa surat tersebut. Setelah berurusan dengan
pihak Amanah Raya, cek tersebut telah di batal palangnya dan mereka kata aku dah boleh menunaikan cek tersebut
di Bank Muamalat. Aku pun pergilah ke Bank Muamalat, ambil nombor lepas tu ke kaunter tapi kerani
kat situ kata aku tak boleh tunaikan cek tersebut walaupun dipalang sebab cek tersebut atas
nama mak aku kecualilah mak aku sertakan surat kebenaran untuk aku tunaikan cek tersebut. Jadi aku
pun kembali ke Amanah Raya untuk dapatkan salinan surat penolakan yang aku bagi kat pihak Amanah Raya tadi.
Lepas tu aku pergi balik ke Bank Muamalat, ambil nombor lagi. Dah sampai ke kaunter kerani tu kata
tak boleh tunaikan jugak... adoi.... katanya cek-cek tersebut perlu ditukarkan dari nama mak aku
kepada nama aku. Lagi sekali aku kembali ke Pejabat Amanah Raya, Pak Guard Nepal tu pun
dah senyum sinis tengok aku kembali buat kali ketiga ke Pejabat Amanah Raya dan tiga kalilah
kena bagi IC aku kat dia.
Aku naik balik ke Pejabat Tingkat 6 tu sampai cik puan yang melayan aku tadi pun buat muka semacam
lalu dia panggil "back up" dia. Lalu datanglah cik puan yang lain pulak dengan sopan dan senyum dia cuba
menolong yang sedaya. Dia telefon pihak bank untuk mendapat kepastian. Tapi memang sah pihak bank tak membenarkan
aku menunaikan cek tersebut atas nama mak aku tu. Lalu cik puan tadi mmenjelaskan kepada aku
kalau cek ni nak di tukar nama mengambil masa, aku cakap tak kisah lama tu, janji aku tak kehulu kehilir,
turun naik turun naik, sampai pening lalat aku dibuatnya. Jelasnya lagi untuk menukar nama cek-cek tersebut aku perlu
dapatkan cop "stamping" kat surat penolakan yang ditandatangani mak aku tu. Aku faham ini
urusan penting, surat yang aku buat tu pulak surat "simple" sangat, kira janji buat je. Cik puan
tadi suruh aku jumpa Pesuruhjaya Sumpah untuk dapatkan cop stamping tadi.
Aku pun keluar pulak pergi cari Pesuruhjaya Sumpah, terjumpalah satu kat lorong berdekatan Masjid
India tu. Masa aku sampai tu, si Pesuruhjaya Sumpah tu tengah mencekik nasi bungkus, tergendalalah
dia menikmati nasi tu untuk melayan aku. Lepas dia baca surat aku tu, dia kata dia tiada
kuasa untuk buat cop stamping ni... pulak dah.... dia suruh aku ke Pejabat LHDN kat Wisma Tun Sambathan.
Dia kata kat situ je tempat orang buat Cop Stamping. Dalam hati aku dah panas habis dah, kehulu kehilir aku sepagi ni.
Tadi iya-iya je cik puan kat Amanah Raya suruh aku jumpa Pesuruhjaya Sumpah.
Aku pulak datang tadi naik LRT je. Dah tu dari Masjid India tu aku menapak dalam cuaca panas
persis El Nino ni menuju ke Wisma Tun Sambathan, fuh berpeluh jugak! Sabar jelah. Sampai kat
sana aku di arah PaK Guard ke tingkat 20 (mak ai tingginya) . Dah sampai kat sana aku tanya Makcik
Jaga macamana nak buat stamping, dia suruh aku ke kaunter 1 ambil nombor dulu. Aku pun beratur ke
kaunter 1. Sampai "turn" aku pun cakap nak ambil nombor untuk buat stamping, dia kata kalau nak buat stamping
kena pergi beli setem dulu, dia kata kat bawah ada kedai jual setem. Aku pun turun ke bawah cari kedai tu.
Aku cakap kat tuan kedai tu nak beli setem untuk buat stamping surat, dia tanya aku setem harga berapa?
Alamak aku mana tahu, aku tanya dia balik, biasa orang buat stamping surat pakai setem berapa ringgit?
Dia cakap ada macam-macam setem RM100 ada, RM200 ada, mak ai terkejut aku. Tauke kedai tu sambil
senyum (ala-ala perli) dan dia suruh aku naik balik tanya kat atas setem berapa aku nak kena beli. Bengang aku
tengok lagak gaya dia macam pandang rendah kat aku, macam ni cara layan pelanggan?
Ya Allah dalam hati aku Tuhan saja tahu... Dengan penuh rasa bodoh bercampur marah aku naik balik
ke tingkat 20, jumpa balik awek comel yang jaga kaunter 1 tu. Aku tanya dia "tadi awak suruh saya beli setem tu,
setem berapa ringgit ?" Dia jawab balik "laa.. awak tak tahu lagi ke? awak kena tanya dulu kat kaunter 9 berapa
nilai setem yang awak kena beli. Dalam hati aku mengeluh "minah ni tadi aku nak ambil nombor
dia suruh aku beli setem dulu, sekarang dia suruh aku pergi tanya kaunter 9 pulak, sedangkan nak
pergi kaunter 9 aku kena ambil nombor dulu, takkan suka-suka aku nak pergi masuk kaunter" Pening
kepala betul. Aku pun dengan rasa gemuruh memberanikan diri ke kaunter 9 sambil beratur di
belakang orang yang tengah berurusan kat kaunter 9 tu. Lalu kerani (lelaki) kat kaunter tu "sound" aku,
"ni buat apa beratur kat belakang tu" aku jawab, "saya nak tanya surat saya ni nak kena pakai setem berapa ringgit"
sambil aku menunjukkan surat aku tapi kerani tu hanya mengeleng kepala sambil terus buat kerja dia semula. Dia
macam bengang kat aku je, atau dia ingat mamat macam aku ni jenis dungu kot tu pasal dia tak jawab soalan aku. Malu aku
di buatnya masa tu.... tiba-tiba ada seorang pakcik yang prihatin datang tengok surat aku tu dan dia kata
surat tu cuma perlu setem RM10.00 je. Perasaan aku dah hingar bingar masa tu, marah, malu, penat, semua bercampur aduk.
Masa tu aku nampak seorang lelaki ambil nombor di kaunter 1 tu, nombor dia 0147, lalu aku tengok kat skrin
nombor yang tengah berurusan sekarang 0056. Dalam hati aku kalau aku berjaya ambil nombor pun hari ni agaknya
pukul berapa nombor aku akan dilayan... sekarang dah pukul 12.00 tengahari. Aku kena kembali ke pejabat ni,
aku kerjalah hari ni.... aku bukannya anak tauke yang tak payah kerja, kena gak cari makan untuk diri sendiri, anak isteri,
mak yang tua, adik bongsu yang masih sekolah............
Itulah pengalaman pahit yang kadang-kala terasa lucu terjadi kat aku pada hari bersejarah 11 Jun 2009, 2 hari
selepas harijadi aku dan sehari sebelum harijadi adik aku.

Itulah seksanya berurusan dengan sistem moden di dunia serba canggih ni, zaman teknologi, orang Malaysia dah jadi angkasawan,
tapi beza pengalaman aku pagi itu & pengalaman Dr. Sheikh Muzaphar naik ke angkasa tu betapa ketara? Tepuk dada tanya sama itu hud-hud...